Sunday 20 May 2012

DHPPNT Menyokong Pemuda PAS Agar Rahim Disiasat dan Didakwa

Dewan Himpunan Penyokong PAS Negeri Terengganu (DHPPNT) menyokong tindakan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) mahukan agar bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Nor disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan, Akta Fitnah 1957 dan Akta Hasutan.

Sehubungan itu, Pengerusi DHPPNT bersolidariti dengan DPPNT membuat satu laporan polis telah dibuat oleh Setiusahanya, Muhammad Zaidan Abdullah serta diiringi beberapa orang Exco Pemuda PAS Terengganu pada jam 10.00 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, pada Ahad 20 Mei, 2012.

Laporan polis dibuat terhadap Rahim Nor berikutan kenyataan bekas Ketua Polis Negara yang disiarkan sebuah akhbar tempatan bertajuk “Nik Aziz is Father of Kafir” pada 8 Mei lalu.

Kenyataan Tan Sri Rahim Nor itu jelas menghina dan memfitnah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tuduhan sebagai ‘bapa kafir’ kepada Tuan Guru Nik Aziz itu menggambarkan sebagai seorang berfahaman sesat, pemecah belah masyarakat dan tidak boleh dipercayai.

Kenyataan tersebut sangat berbahaya kerana Dato’ Nik Aziz juga merupakan ketua sebuah kerajaan demokratik yang dipilih rakyat secara pilihan raya dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Thursday 17 May 2012

S. Murugessan dan MIC Perlu Tumpu Soal Hak-hak dan Kepentingan Masyarakat India


Saya merujuk kepada berita yang disiarkan Sinar Online “Hudud: MIC mahu PR buat pendirian jelas”. Saya menasihatkan Setiausaha Agung MIC, S.Murugessan dan parti MIC supaya memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan hak-hak dan kepentingan masyarakat India di negara ini, yang menjadi lebih utama pada masa kini.

Bagi saya dan kebanyakkan masyarakat India, samada Hudud itu dilaksanakan atau tidak, ia tidak ada kena mengena dan kaitan dengan hak-hak dan kepentingan kita. Ia tidak akan meninggalkan sebarang kesan keatas sosial ekonomi masyarakat India kerana ia adalah isu yang berkaitan dengan masyarakat Islam.

Murugessan dan MIC perlu mengambil berat soal lebih 240,000 kaum India yang tidak memiliki kad pengenalan dan bukan kerakyatan, lebih utama dari mempersoalkan tentang samada hudud akan dilaksanakan atau tidak.

Murugessan dan MIC sebagai sebuah komponen parti pemerintah yang kononnya memperjuangankan nasib masyarakat India, perlu memastikan tidak ada kaum India yang merempat kerana ketiadaan rumah (homeless).

Murugessan dan MIC juga, perlu berusaha bersungguh-sungguh memastikan anak bangsa Malaysia dari masyarakat India tidak keciciran dalam melanjutkan pelajaran mereka kerana tidak ada bantuan pelajaran atau pun biasiswa.

Sebanyak RM93.2 bilion telah dibelanjakan sejak 2009 untuk bidang pendidikan Negara tetapi hanya RM2 bilion sahaja yang diperuntukkan untuk kaum India. Sepatutnya, masyarakat India mendapat bahagian sekurang-kurangnya 10% daripada peruntukan itu sebanyak RM9.3 bilion bukannya hanya mendapat RM2 bilion sahaja.

Berbalik kepada soal hukum Hudud, saya menasihatkan Murugessan memperdalamkan ilmu dan belajar tentang hukum tersebut terlebih dahulu sebelum mengeluarkan pelbagai komen. Sekiranya, beliau tidak mempunyai masa kerana terlalu sibuk mengejar projek dan pangkat, beliau boleh memanggil saya dan saya bersedia pada bila-bila masa untuk memberi tunjuk ajar kepada beliau tentang hukum hudud.

Jangan berkata perkara yang beliau tidak ketahui kerana ia akan mengundang kemurkaan Tuhan!

Dr. Balachandran
Pengerusi
Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)
Negeri Terengganu
17hb Mei, 2012