Tuesday 19 July 2011

Dr B.Chandran rakam takziah Dr Lo’ Lo’


 

KUALA TERENGGANU: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu merakamkan ucapan takziah terutama kepada ahli keluarga Dr Lo’ Lo Mohd Ghazali yang telah ke rahmahtullah, 18 Julai lalu.

Pengerusinya, Dr Bala Chandran menyifatkan pemergian Dr Lo’ Lo yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa itu sebagai suratan takdir Tuhan.

Katanya, setiap makhluk yang hidup dan bernyawa akan meninggalkan dunia yang fana dan bersifat sementara ini.

Menurutnya, pemergian beliau itu suatu ‘kehilangan’ besar kepada perjuangan PAS kerana allahyarham seorang yang komitmen dengan parti Islam.

 
“Kami dari DHPP negeri Terengganu ingin merakamkan ucapan takziah dan sangat merasai ‘kehilangan’ beliau (Dr Lo’ Lo) dua hari lalu.

“Ini sudah ditakdirkan oleh Tuhan dan setiap yang hidup dan bernyawa wajib akan merasai kematian itu.

“Takziah sekali lagi kepada suami, anak-anak dan ahli keluarga terdekat yang masih bersedih dengan kematian itu,” ujar ketika ditemui di pejabatnya.

Namun begitu, katanya pemimpin pelapis terutama PAS dan Pakatan Rakyat akan meneruskan ‘wasiatnya’ agar pertahankan perkampungan orang Melayu di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, PAS merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali ke rahmahtullah.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemergian beliau sangat dirasai oleh seluruh ahli PAS dan juga rakyat yang diwakilinya.

Menurutnya, penduduk-penduduk kawasan Titiwangsa mengenali beliau, kerana beliau merupakan seorang pejuang yang sangat gigih dalam memperjuangkan cita-cita Islam.

 
Katanya, ketabahan beliau menghadapi penderitaan kanser yang dihadapinya amat dikagumi sehingga di saat himpunan Bersih 2.0 minggu yang lalu, beliau masih memberikan semangat agar semua turun bagi memperjuangkan sistem pilihan raya yang adil dan bersih.

“Kita doakan agar Allah mencucuri rahmat dan inayah-Nya kepada beliau dan  juga kesabaran kepada seluruh anak-anak dan keluarga beliau di atas pemergiannya,” ujarnya.

Manakala, Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamuha Dr Lo' Lo'.

 
Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, DMPP amat berasa kehilangan di atas pemergian allahyarhamah yang merupakan ahli Parlimen Titiwangsa itu.

"Bagi pihak Dewan Muslimat, kami amat sedih dengan pemergian allahyarhamah yang amat kami sayangi ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarhamah," kata beliau yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang  ketika ditemui Harakah di Masjid Al- Akram, Datuk Keramat, baru-baru ini.

 
Sementara itu, timbalannya, Dr. Siti Mariah Mahmud menyifatkan pemergian bekas ahli jawatankuasa DMPP dan PAS Pusat itu sebagai kehilangan besar dalam perjuangan.

"Saya kehilangan sahabat dan kakak yang saya sayangi dan hormati dalam perjuangan ini," katanya menahan sebak ketika ditemui dalam majlis yang sama.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir  di Hospital Selayang kira-kira jam 10.15 malam tadi setelah bertahun-tahun menghidap kanser paru-paru.

Beberapa pimpinan PAS turut hadir menziarahi jenazah antaranya Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli yang juga ahli Parlimen Kuala Krai dan AJK DMPP, Mastura Mohammad.

Difahamkan, solat jenazah Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali akan diadakan di Masjid al-Akram, Datuk Keramat jam 10.30 pagi, menurut anak allahyarhamuha, Muhd Fawwaz.

Katanya, jenazah diuruskan di masjid berkenaan dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat.

Dalam respons awal, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Allahyarhamuha seorang yang istiqamah berjuang untuk Islam sehingga akhir hayat.



"Saya dimaklumkan oleh keluarga terdekat almarhumah Dr Lo' Lo', MP PAS Titiwangsa tentang pemergian beliau sebentar tadi.

"Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Beliau seorang yang istiqomah berjuang untuk Islam hingga ke saat akhir hayatnya," tulisnya di Facebook.


Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan pula menyifatkan Allahyarhamah seorang tokoh pejuang Islam yang tabah.

"PAS dan rakyat sebentar tadi kehilangan tokoh pejuang Islam yg tabah apabila sbentar td Dr Lo' Lo' telah kembali ke rahmatillah.. Al Faatiihah." tulisnya di Twitter.