Thursday 1 September 2011

DHPP Terengganu ucap Selamat Hari Raya

KUALA TERENGGANU: Sempena umat Islam menyambut Syawal, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Negeri Terengganu merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Idulfitri al-Mubarak.

 
Pengerusinya, Dr B.Chandran merakamkan ucapan Selamat Hari Raya khususnya kepada umat Islam di seluruh Negara dan amnya di negeri Terengganu Darul Iman.

 
Katanya, hari raya adalah hari kemenangan dan kebesaran bagi umat Islam yang patut dihayati dengan baik.

Menurutnya, kemenangan itu wajar diterjemahkan bukan sahaja melawan hawa nafsu tetapi menentang kezaliman dan ketidakadilan pemerintah.

“Saya bagi pihak Ahli Jawatankuasa DHPP Terengganu, ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan di negeri ini.

“Ini (raya) adalah bulan kebesaran dan kemenangan untuk umat Islam, bukan sahaja menang melawan hawa nafsu pada bulan Ramadan. Tetapi, mesti berterusan melawan kezaliman dan ketidakadilan kerajaan hari ini,” jelasnya.

Katanya, perjuangan menentang kezaliman bagi menegakkan keadilan Islam mesti diteruskan hingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Manakala, Timbalan DHPP Terengganu, Cikgu Tan mengharapkan sambutan hari raya ini menjadikan umat Islam dan rakyat lebih sedar erti ‘kemenangan’ sebenar.

 Katanya, hari raya adalah hari kemenangan umat Islam yang patut diterjemahkan pula dalam bentuk undi pada pilihan raya akan datang.

“Kami dari kaum tionghua dan DHPP merakamkan ucapan selamat hari raya kepada seluruh umat Islam khususnya di negeri Terengganu Darul Iman.

“Ini bukan kemenangan untuk umat yang patut diterjemahkan dalam bentuk undi pada pilihan raya akan datang,” ujarnya.

 
Menurutnya, perpaduan dan keadilan hanya dapat ditegakkan apabila kezaliman dan ketidakadilan pemerintah sedia ada dijatuhkan.

PAS ucap takziah mendiang Long Po Poong


KEMAMAN: Salah satu dari konsep “Negara Berkebajikan” yang ingin diutarakan oleh PAS kepada rakyat di negara ini termasuklah mengambil sikap prihatin dalam masyarakat bermajmuk.

 Ini telah ditunjukkan dalam kepimpinan PAS Terengganu yang sering kali melakukan ziarah apabila berlakunya kematian sekali pun terhadap orang bukan Islam.

Sehubungan itu, pada 30 Julai lalu Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat telah melawat mendiang Long Po Poong, 65, di rumah mayat Kampung Dusun Nyior, Chukai, Kemaman.

 Katanya, setiap manusia adalah insan yang sama dari keturunan Nabi Adam a.s yang akhirnya berpecah menjadi pelbagai suku kaum dan bangsa di dunia ini.

 
“PAS merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang Long Po Poong yang mati kemalangan langgar lari.

“Kita (PAS) harap balunya (Siew Moi) dan anak-anak sabar, tabah menerima dugaan (kematian) ini,” ujarnya.

 
Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Chukai menyifatkan kes langgar lari itu tidak bertanggungjawab.

 
Dimaklumkan, mendiang Po Poong meninggal dunia setelah dimasukkan ke Hospital Kuantan akibat kemalangan langgar lari yang berlaku di Jalan Jakar, Chukai, dekat sini.

Mendiang Po Poong merupakan seorang pekerja bengkel yang baik dan menetap di Kampung Feri Lama, Chukai.

 Beliau meninggalkan seorang balu, Goh Siew Moi, 53, dan empat orang anak terdiri dari seorang lelaki dan tiga perempuan.

Siew Moi berkata, mendiang suaminya akan dikebumikan di tanah perkuburan jirat Cina Bukit Kuang.

 
“Mendiang seorang suami yang baik dan bertanggungjawab. Kami akan semadikan mendiang (Po Poong) di tanah perkuburan jirat (Cina) di Bukit Kuang.

“Saya ucap terima kasih kepada Hanafiah yang datang melawat kami di rumah mayat pada malam ini,” ujarnya.

 
Tinjauan di rumah mayat tersebut mendapati kehadiran bekas calon PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai 2008 itu mendapat sambutan dan tepukan dari semua hadirin.

 
Bahkan, salah seorang dari kaum tionghua itu menjulang tangan Hanafiah serta memaklumkan ini “orang kita” dengan ucapan spontan “beres!!”.