Thursday 1 September 2011

DHPP Terengganu ucap Selamat Hari Raya

KUALA TERENGGANU: Sempena umat Islam menyambut Syawal, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Negeri Terengganu merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Idulfitri al-Mubarak.

 
Pengerusinya, Dr B.Chandran merakamkan ucapan Selamat Hari Raya khususnya kepada umat Islam di seluruh Negara dan amnya di negeri Terengganu Darul Iman.

 
Katanya, hari raya adalah hari kemenangan dan kebesaran bagi umat Islam yang patut dihayati dengan baik.

Menurutnya, kemenangan itu wajar diterjemahkan bukan sahaja melawan hawa nafsu tetapi menentang kezaliman dan ketidakadilan pemerintah.

“Saya bagi pihak Ahli Jawatankuasa DHPP Terengganu, ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan di negeri ini.

“Ini (raya) adalah bulan kebesaran dan kemenangan untuk umat Islam, bukan sahaja menang melawan hawa nafsu pada bulan Ramadan. Tetapi, mesti berterusan melawan kezaliman dan ketidakadilan kerajaan hari ini,” jelasnya.

Katanya, perjuangan menentang kezaliman bagi menegakkan keadilan Islam mesti diteruskan hingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Manakala, Timbalan DHPP Terengganu, Cikgu Tan mengharapkan sambutan hari raya ini menjadikan umat Islam dan rakyat lebih sedar erti ‘kemenangan’ sebenar.

 Katanya, hari raya adalah hari kemenangan umat Islam yang patut diterjemahkan pula dalam bentuk undi pada pilihan raya akan datang.

“Kami dari kaum tionghua dan DHPP merakamkan ucapan selamat hari raya kepada seluruh umat Islam khususnya di negeri Terengganu Darul Iman.

“Ini bukan kemenangan untuk umat yang patut diterjemahkan dalam bentuk undi pada pilihan raya akan datang,” ujarnya.

 
Menurutnya, perpaduan dan keadilan hanya dapat ditegakkan apabila kezaliman dan ketidakadilan pemerintah sedia ada dijatuhkan.

PAS ucap takziah mendiang Long Po Poong


KEMAMAN: Salah satu dari konsep “Negara Berkebajikan” yang ingin diutarakan oleh PAS kepada rakyat di negara ini termasuklah mengambil sikap prihatin dalam masyarakat bermajmuk.

 Ini telah ditunjukkan dalam kepimpinan PAS Terengganu yang sering kali melakukan ziarah apabila berlakunya kematian sekali pun terhadap orang bukan Islam.

Sehubungan itu, pada 30 Julai lalu Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat telah melawat mendiang Long Po Poong, 65, di rumah mayat Kampung Dusun Nyior, Chukai, Kemaman.

 Katanya, setiap manusia adalah insan yang sama dari keturunan Nabi Adam a.s yang akhirnya berpecah menjadi pelbagai suku kaum dan bangsa di dunia ini.

 
“PAS merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang Long Po Poong yang mati kemalangan langgar lari.

“Kita (PAS) harap balunya (Siew Moi) dan anak-anak sabar, tabah menerima dugaan (kematian) ini,” ujarnya.

 
Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Chukai menyifatkan kes langgar lari itu tidak bertanggungjawab.

 
Dimaklumkan, mendiang Po Poong meninggal dunia setelah dimasukkan ke Hospital Kuantan akibat kemalangan langgar lari yang berlaku di Jalan Jakar, Chukai, dekat sini.

Mendiang Po Poong merupakan seorang pekerja bengkel yang baik dan menetap di Kampung Feri Lama, Chukai.

 Beliau meninggalkan seorang balu, Goh Siew Moi, 53, dan empat orang anak terdiri dari seorang lelaki dan tiga perempuan.

Siew Moi berkata, mendiang suaminya akan dikebumikan di tanah perkuburan jirat Cina Bukit Kuang.

 
“Mendiang seorang suami yang baik dan bertanggungjawab. Kami akan semadikan mendiang (Po Poong) di tanah perkuburan jirat (Cina) di Bukit Kuang.

“Saya ucap terima kasih kepada Hanafiah yang datang melawat kami di rumah mayat pada malam ini,” ujarnya.

 
Tinjauan di rumah mayat tersebut mendapati kehadiran bekas calon PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai 2008 itu mendapat sambutan dan tepukan dari semua hadirin.

 
Bahkan, salah seorang dari kaum tionghua itu menjulang tangan Hanafiah serta memaklumkan ini “orang kita” dengan ucapan spontan “beres!!”.


Tuesday 19 July 2011

Dr B.Chandran rakam takziah Dr Lo’ Lo’


 

KUALA TERENGGANU: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu merakamkan ucapan takziah terutama kepada ahli keluarga Dr Lo’ Lo Mohd Ghazali yang telah ke rahmahtullah, 18 Julai lalu.

Pengerusinya, Dr Bala Chandran menyifatkan pemergian Dr Lo’ Lo yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa itu sebagai suratan takdir Tuhan.

Katanya, setiap makhluk yang hidup dan bernyawa akan meninggalkan dunia yang fana dan bersifat sementara ini.

Menurutnya, pemergian beliau itu suatu ‘kehilangan’ besar kepada perjuangan PAS kerana allahyarham seorang yang komitmen dengan parti Islam.

 
“Kami dari DHPP negeri Terengganu ingin merakamkan ucapan takziah dan sangat merasai ‘kehilangan’ beliau (Dr Lo’ Lo) dua hari lalu.

“Ini sudah ditakdirkan oleh Tuhan dan setiap yang hidup dan bernyawa wajib akan merasai kematian itu.

“Takziah sekali lagi kepada suami, anak-anak dan ahli keluarga terdekat yang masih bersedih dengan kematian itu,” ujar ketika ditemui di pejabatnya.

Namun begitu, katanya pemimpin pelapis terutama PAS dan Pakatan Rakyat akan meneruskan ‘wasiatnya’ agar pertahankan perkampungan orang Melayu di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, PAS merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali ke rahmahtullah.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemergian beliau sangat dirasai oleh seluruh ahli PAS dan juga rakyat yang diwakilinya.

Menurutnya, penduduk-penduduk kawasan Titiwangsa mengenali beliau, kerana beliau merupakan seorang pejuang yang sangat gigih dalam memperjuangkan cita-cita Islam.

 
Katanya, ketabahan beliau menghadapi penderitaan kanser yang dihadapinya amat dikagumi sehingga di saat himpunan Bersih 2.0 minggu yang lalu, beliau masih memberikan semangat agar semua turun bagi memperjuangkan sistem pilihan raya yang adil dan bersih.

“Kita doakan agar Allah mencucuri rahmat dan inayah-Nya kepada beliau dan  juga kesabaran kepada seluruh anak-anak dan keluarga beliau di atas pemergiannya,” ujarnya.

Manakala, Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamuha Dr Lo' Lo'.

 
Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, DMPP amat berasa kehilangan di atas pemergian allahyarhamah yang merupakan ahli Parlimen Titiwangsa itu.

"Bagi pihak Dewan Muslimat, kami amat sedih dengan pemergian allahyarhamah yang amat kami sayangi ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarhamah," kata beliau yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang  ketika ditemui Harakah di Masjid Al- Akram, Datuk Keramat, baru-baru ini.

 
Sementara itu, timbalannya, Dr. Siti Mariah Mahmud menyifatkan pemergian bekas ahli jawatankuasa DMPP dan PAS Pusat itu sebagai kehilangan besar dalam perjuangan.

"Saya kehilangan sahabat dan kakak yang saya sayangi dan hormati dalam perjuangan ini," katanya menahan sebak ketika ditemui dalam majlis yang sama.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir  di Hospital Selayang kira-kira jam 10.15 malam tadi setelah bertahun-tahun menghidap kanser paru-paru.

Beberapa pimpinan PAS turut hadir menziarahi jenazah antaranya Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli yang juga ahli Parlimen Kuala Krai dan AJK DMPP, Mastura Mohammad.

Difahamkan, solat jenazah Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali akan diadakan di Masjid al-Akram, Datuk Keramat jam 10.30 pagi, menurut anak allahyarhamuha, Muhd Fawwaz.

Katanya, jenazah diuruskan di masjid berkenaan dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat.

Dalam respons awal, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Allahyarhamuha seorang yang istiqamah berjuang untuk Islam sehingga akhir hayat.



"Saya dimaklumkan oleh keluarga terdekat almarhumah Dr Lo' Lo', MP PAS Titiwangsa tentang pemergian beliau sebentar tadi.

"Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Beliau seorang yang istiqomah berjuang untuk Islam hingga ke saat akhir hayatnya," tulisnya di Facebook.


Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan pula menyifatkan Allahyarhamah seorang tokoh pejuang Islam yang tabah.

"PAS dan rakyat sebentar tadi kehilangan tokoh pejuang Islam yg tabah apabila sbentar td Dr Lo' Lo' telah kembali ke rahmatillah.. Al Faatiihah." tulisnya di Twitter.

Friday 17 June 2011

Final Umno-BN dalam PRU ke-13


KEMAMAN: Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) kini berada di ambang detik-detik kehancuran dan finalnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, akan datang.

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran berkata DHPP akan bersama dengan PAS bagi menumbangkan Umno-BN di negeri ini.

Katanya, rakyat dan pengundi di seluruh negara wajib mengantikan Umno-BN dengan PAS dan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, kemuncak pertembungan bagi rakyat menukar pemerintahan Umno-BN adalah dalam pilihan raya akan datang.
 
“Kita (DHPP) telah lihat Umno dan kerajaan Barisan Nasional kini berada dalam detik-detik kehancurannya. Kemuncak ‘finalnya’ rakyat akan buat perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Isu Semasa di Kampung Dusun Nyior, Chukai, Kemaman pada 16 Jun lalu.

Sehubungan itu, katanya gagasan Buku Jingga Pakatan Rakyat mampu menggoncangkan tampuk pemerintahan Umno-BN.

Menurutnya, rakyat perlu diberi pendedahan yang meluas oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat tentang peranan Buku Jingga tersebut.
“Saya lihat dan teliti isi kandung Buku Jingga ini mampu menumbangkan Umno dan kerajaan Barisan Nasional.

“Rakyat akan diberi pembelaan yang saksama dan adil jika Pakatan Rakyat diberi mandat hingga ke Putrajaya,” ujarnya.

Katanya, rakyat dan para pengundi perlu memilih mana dasar parti benar-benar boleh membawa kemakmuran serta kesejahteraan.
 
Hadir sama pada majlis tersebut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli dan Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai, Hanafiah Mat.


Tuesday 14 June 2011

DHPP ucap takziah kepada keluarga mendiang Vijaya

KUALA TERENGGANU: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, ternyata lebih kedepan dalam soal kebajikan tanpa mengira sentimen parti politik berbanding dengan parti MIC di negeri ini.

Ini terbukti, apabila berlaku kematian di kalangan penganut beragama hindu DHPP sentiasa menerima ‘undangan’ dari pihak pengurusan jenazah.

Insiden terbaru, kematian mendiang Vijaya Varma a/l Krisnhnan, 47, dari Seremban Negeri Sembilan yang disahkan meninggal dunia akibat mati lemas kira-kira jam 1.00 petang, 11 Jun lalu di laut pantai Chendering.

Mendiang Vijaya meninggalkan seorang balu serta tiga orang anak berusia lima hingga 14 tahun.

Sehubungan itu, Pengerusi DHPP Terengganu, Dr. Balachandran merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang Vijaya Varma.

Katanya, hidup dan mati adalah ketentuan Tuhan yang tidak ada siapa sangka boleh berlaku pada bila-bila masa.
 
“Kami dari DHPP Terengganu ucap takziahlah kepada ahli keluarga mendiang (Vijaya Varma) yang kehilangan orang tersayang.

“Ucapan terima kasih juga kepada pihak Majlis Ugama Hindu Terengganu yang membantu menguruskan jenazah mendiang di HSNZ ini hingga selesai,” ujarnya.

Adik mendiang iaitu John Moses, 46, berkata abangnya (Vijaya) mati lemas ketika mandi di laut Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu.

Menurutnya, mendiang Vijaya datang bercuti ke Terengganu dengan membawa bersama seorang anak lelaki berusia lima tahun.

“Dia (Vijaya) pandai berenang dan sudah biasa mandi di laut dan sungai. Saya pun tidak tahu macam mana boleh ‘sangkut’ (lemas) di pantai ini.

“Kami ucap terima kasihlah kepada pihak pengurusan hospital (HSNZ) dan Majlis Ugama Hindu Terengganu,” ujarnya ketika ditemui di HSNZ.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar bergegas ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, sebaik sahaja menerima berita kematian seorang mangsa lemas di Pantai Pandak, Chendering, 12 Jun lalu.
 Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang Vijaya Varma serta mengharapkan banyak bersabar.

“Saya ucap takziah kepada isteri, anak-anak dan ahli keluarga mendiang Vijaya Varma yang disahkan mati lemas di laut Pantai Pandak, Chendering.

“Saya harap ahli keluarga mendiang dapat bersabar dan terima takdir (kematian) ini dengan tenang,” ujarnya.

Justeru itu, beliau mengingatkan orang ramai dan pelancong luar agar berhati-hati ketika mandi laut serta bermain di tepi pantai tersebut.

Hadir sama menziarahi keluarga mendiang, wakil Indian Assouation Kuala Terengganu iaitu Encik Harry dan Encik Holey di bilik pengurusan mayat Unit Forensik HSNZ, Kuala Terengganu.

Monday 13 June 2011

Tahniah DHPP kepada PAS Pusat dan Terengganu


KUALA TERENGGANU: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu merakamkan ucapan penghargaan tahniah kepada saf kepimpinan PAS Pusat yang baru dipilih pada Muktamar PAS ke-57 yang lalu.
 
Pengerusinya, Dr B.Chandran berkata saf kepimpinan PAS yang baru dipilih oleh para perwakilan tersebut mampu membawa perubahan dalam pilihan raya akan datang.
 
Katanya, DHPP negeri Terengganu yakin perubahan tersebut merupakan gandingan mantap kepimpinan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
 
 “Saya ucap tahniah dan syabas kepada saf kepimpinan PAS yang terpilih pada Muktamar PAS ke-57 di Kuala Lumpur.

“Saya cukup yakin saf kepimpinan PAS ini adalah gandingan mantap parti untuk hadapi pilihan raya umum tidak lama lagi,” ujarnya ketika ditemui di pejabat DHPP Terengganu.
 Selain itu, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut yang baru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu yang baru.
 Katanya, kepimpinan Abdul Wahid diyakini mampu mengembalikan semula negeri ini ke pangkuan PAS dalam pilihan raya akan datang.
 
“Beliau (Abdul Wahid) seorang Ahli Parlimen Kuala Terengganu, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam dan Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu.

“Kita (DHPP) cukup yakin dengan kepimpinan Yang Berhormat (Wahid) untuk menarik sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat,” jelasnya.
 Apa yang penting, kata Dr. Bala, kerajaan Barisan Nasional (BN) mesti ditumbangkan dalam pilihan raya sesuai dengan agenda “PAS Ganti Umno” (PGU).

Menurutnya, ‘senjata’ utama yang mampu menjatuhkan Umno-BN adalah penghayatan kepada Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Monday 6 June 2011

Orang bukan Islam hairan mengapa Umno takut 'Hudud'

KUALA NERUS - Apabila orang-orang bukan Islam di negara ini memahami dan mula menghayati Islam, Umno dan Barisan Nasional (BN) menjadi gusar serta menggelepar.

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) negeri Terengganu Dr. Balachandran, berkata hanya satu sahaja perkataan yang boleh diberikan kepada Umno terhadap Islam, iaitu 'munafik'

Katanya, Ia adalah berdasarkan pengalaman peribadi beliau keatas pemikiran orang-orang Umno terhadap hukum Hudud.

Thursday 19 May 2011

Ustaz Kasim dalam kenangan

KUALA NERUS: 20 Mei - Pengerusi Kelab Veteran PAS Terengganu, Ustaz Kasim Ahmad, 74,  kembali ke rahmatullah kira-kira jam 10.30 pagi tadi di rumahnya di Kampung Terbol Batu Lapan, Pekan Batu Enam.


Beliau meninggal dunia di sisi isteri keduanya, Puan Zainab Awang, 41, dan anak-anak setelah diserang penyakit angin ahmar hampir sebulan lalu dan pernah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.

Ustaz Kasim yang juga Bendahari Dewan Ulamak PAS Terengganu meninggalkan dua balu, Puan Noraidah Sulaiman dan Puan Zainab Awang bersama 13 orang anak hasil perkongsian hidup dengan kedua-dua isterinya.

Jenazah allahyarham disembahyangkan di Masjid at-Taqwa, Pekan Batu Enam yang diimamkan oleh Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang yang disertai oleh kira-kira 1,000 orang selepas solat Asar dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Che Limah.

Tuesday 17 May 2011

Umno jangan main ‘kotor’!!!

KUALA TERENGGANU: 18 Mei- Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menyifatkan ugutan melalui pesanan ringkas (SMS) yang diterima oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar suatu yang menjijikan.

Pengerusinya, Dr B.Chandran mengingatkan pihak-pihak tertentu termasuk Umno jika menjadi ‘dalang’ melakukan ugutan tersebut agar tidak mengulanginya.

Katanya, perbuatan tersebut merupakan satu jenayah yang cuba dilakukan pihak tertentu yang ‘tersempit’ serta tidak bertamadun.

Pelancaran DHPP Terengganu ditangguh


KUALA TERENGGANU: 17 Mei- Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu menangguhkan pelancarannya yang dijadualkan pada 21 Mei 2011 (Jumaat) ini.

 
Pengerusinya, Dr B.Chandran berkata penangguhan pelancaran DHPP Terengganu disebabkan berlaku pertembungan tarikh yang sama dengan program Pakatan Rakyat di peringkat pusat.

Menurutnya, beberapa pimpinan utama yang dijadualkan hadir pada hari pelancaran DHPP Terengganu terlibat dengan program tersebut.

 
“Kita (DHPP) telah buat keputusan untuk tangguh program pelancaran DHPP Terengganu yang sepatutnya berlangsung pada 20 Mei ini.

“Ini kerana, berlaku pertembungan program Pakatan Rakyat yang melibatkan semua pimpinan tertinggi parti PAS, PKR dan DAP di Kuala Lumpur,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, katanya program Himpunan Kebangkitan Rakyat “PAS Ganti Umno” (PGU-100K) di Kuala Terengganu juga ditangguhkan pada tarikh yang lain.

Menurutnya, DHPP Terengganu patut dilancarkan sempena program PGU-100K bagi Zon Tengah selepas Kemaman dan Besut.

Namun begitu, katanya aktiviti ‘dalaman’ DHPP terus berjalan bagi mendekati rakyat dan pengundi.

Tolak politik ‘perkauman’ Umno-BN


KUALA TERENGGANU: 13 Mei- Rakyat yang berbilang kaum yang terdapat di Negara ini diseru agar menolak politik ‘murahan’ dan ‘perkauman’ yang dimainkan pihak tertentu sejak mutakhir ini.

 
Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr B.Chandran mengajak rakyat tanpa mengira kaum serta latar belakang agama menolak politik perkauman.

Katanya, ada pihak yang sengaja cuba mencetuskan ‘api’ perkauman satu pihak lagi mendapat ‘keuntungan’ sementara.

Beliau mendakwa Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) serta ‘kuncu-kuncunya’ sedang bermain dengan politik murahan tersebut.

 
“Umno yang semakin lemah sekarang ini cuba memainkan isu perkauman untuk mendapat keuntungan sementara.

“Umno-BN melalui ‘kuncu-kuncunya’ pihak media (Utusan Malaysia) dan badan bukan kerajaan seperti PERKASA cuba melaga-lagakan rakyat,” tegasnya.

Menurutnya, tindakan pihak berkenaan seolah-olah mendapat ‘lampu hijau’ dari pihak kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri.

Dr Bala menyifatkan isu “Kristian agama rasmi” yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia bukti Umno ‘rasis’ dan perkauman.

Katanya, masyarakat yang berbilang kaum dan agama yang selama ini hidup aman terasa terancam dengan isu tersebut.

“Umno yang lemah itu mengharapkan dengan isu ‘agama’ itu mereka (Umno) dapat meraih sokongan orang Melayu kepada Umno…itu sahaja.

“Orang Tionghua (cina) jelas tidak menyokong BN dan orang India pula semacam mengikut ‘rentak’ kecuali yang jelas berada dalam DHPP, PKR, DAP atau Hindraf menolak Barisan Nasional,” jelasnya.

 
Menurutnya, rakyat Malaysia yang bijak dan matang berpolitik tidak terpengaruh dengan permainan tersebut.

Apa yang penting, katanya PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat perlu fokus terhadap sasaran untuk menumbangkan Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.

DHPP ziarah Ustaz Kassim di HSNZ


KUALA TERENGGANU: 10 Mei - Pengerusi Kelab Veteran PAS Terengganu, Ustaz Kassim Ahmad,74, dimasukkan ke wad 7A Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu sejak seminggu lalu.

 
Beliau diserang penyakit angin ahmar (stroke) ketika sedang tidur di rumahnya di Kampung Batu Enam, Kuala Terengganu.

Ustaz Kassim pernah menjadi wakil rakyat PAS di Dewan Undangan Negeri (Dun) Serada yang kini dikenali Dun Bukit Payung, Marang.

 
Antara jawatan penting parti yang pernah diamanahkan kepada beliau iaitu Bendahari PAS Terengganu, Yang Dipertua PAS Marang dan lain-lain.

Isterinya, Puan Zainah Awang berkata suaminya (Ustaz Kassim) diserang penyakit angin ahmar ketika sedang tidur di rumah.

“Kejut tidur pagi, Ustaz (Kassim) sudah tidak boleh bangun dan mungkin dia kena ‘stroke’ ketika tidur,” ujarnya kepada Harakah di HSNZ, 8 Mei lalu.
Menurut beliau, sejak dimasukkan ke hospital ramai pimpinan PAS serta kenalan Ustaz Kassim datang menziarahinya.

Sehubungan itu, Pengerusi DHPP Terengganu, Dr B.Chandran mendoakan agar kesihatan tokoh veteran PAS, Ustaz Kassim Ahmad sembuh secepat mungkin.

Katanya, dalam usia ‘warga emas’ ini kesihatan diri harus dijaga agar tubuh badan sentiasa sihat dan selamat dari penyakit yang tidak diingini itu.

“Kami (DHPP) datang melawat Ustaz Kassim di hospital (HSNZ) ini setelah mendapat berita beliau dimasukkan ke wad kerana serangan angin ahmar.

“Saya doakan dan saya yakin kesihatan beliau akan pulih seperti sediakala dan meneruskan perjuangan PAS hingga akhir hayat,” ujarnya.

Menurutnya, perbezaan bangsa dan agama tidak menjadi halangan kepada beliau untuk bersama-sama dengan perjuangan PAS.

Antara yang melawatnya, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Ulama’ PAS Terengganu, Dato’ Hussin Awang, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik, Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah, Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, Syukrimun Samsuddin, Pengerusi Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail, Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Hanafiah Mat dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Dr Balachandran.

Ucapan takziah dari DHPP Terengganu


KUALA TERENGGANU: 3 Mei - PAS Cawangan Mengabang Tengah dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Burok khususnya menyifatkan pemergian seorang veteran PAS, Haji Osman Ngah, 74, sebagai suatu kehilangan besar kepada parti.

 
 Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Abang Man Janggut’ disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8.00 malam dan sempat menunaikan solat maghrib meski pun dalam keadaan keuzurannya.

Beliau merupakan bekas Imam Masjid Mengabang Tengah sejak lebih 50 tahun serta pernah memegang beberapa jawatan penting lain yang disegani dalam masyarakat baik kawan dan lawannya.
.
Allahyarham Abang Man juga merupakan pengasas PAS cawangan Mengabang Tengah, pengerusi Pasti Al-Khausar dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) ketika kerajaan PAS Terengganu 1999-2004.

Beliau meninggalkan seorang balu, Puan Aishah Mohd, 69, bersama 13 orang anak, 20 cucu serta seorang cicit.

Anaknya, Mohd Zilkarnain, 34, berkata allahyarham deman sejak lebih seminggu lalu serta mengidap sakit ghout dan kencing manis.

 Katanya, seperti biasa selepas solat maghrib kebiasaan allahyarham bapa turut membaca al-Quran bersama anak-beranak.

“Ayah (Osman) deman lebih seminggu selain ada penyakit ghout dan kencing manis. Pada malam itu selepas solat maghrib sakitnya semakin menjadi dan emak (Aishah) sempat ajar ayah mengucap hingga akhir hayatnya,” jelasnya.

Menurutnya, sebelum allahyarham meninggal dunia semua anak-anak yang berada di Melaka, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sempat pulang.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dato’ Wan Abdul Mutalib Embong turut menyifatkan pemergian allahyarham Haji Osman suatu kehilangan besar kepada perjuangan Islam.

 
Kata beliau mempunyai kenangan paling berharga dengan allahyarham abang Man yang disifatkan sebagai “abang” dalam perjuangan PAS.

“Dia (Osman) orang lama dalam PAS dan semasa saya diminta balik ke Terengganu supaya cergas dalam politik, allahyarham ‘Pok Su Daud’ iaitu bekas Menteri Besar kerajaan PAS Terengganu meminta saya mencari ‘abang Man’ ini.

“Orang yang boleh buat rujukan dalam PAS adalah ‘abang Man’. Alhamdulillah, sejak dari itu dia bersama-sama dengan ‘ayah wan’ (saya).

“Dia menjadi Ketua cawangan PAS Mengabang Tengah hinggalah dia benar-benar uzur dan digantikan orang lain, jelasnya ketika ditemui selepas pengkebumian allahyarham Osman.

Selain itu, kata Dato’ Wan Mutalib allahyarham Osman juga mempunyai ilmu agama yang boleh membimbing masyarkat setempat.

Menurutnya, pengorbanan allahyarham dalam perjuangan Islam cukup besar bersama isteri dan ahli keluarga.

“Kelebihan yang ada pada dia (Osman), ilmu yang membimbing masyarakat setempat dengan ilmu agama.

“Dalam perjuangan PAS ini tidak pernah dia bermasam muka atau tunjuk keletihan dengan kerja-kerja parti, bukan dia sahaja tetapi seluruh keluarganya bersama dengan PAS. Dia jadi pemimpin (Imam) masjid lebih 50 tahun,” ujarnya.

Justeru itu, kata beliau Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah dan setinggi penghormatan kepada allahyarham dan keluarganya.

Sementara itu, Pengerusi DHPP Terengganu, Dr B.Chandran merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham Haji Osman (Abang Man Janggut).

 Kata beliau, kematian allahyarham bukan sahaja dirasai oleh PAS tetapi juga Pakatan Rakyat seluruhnya.

“Saya ucap takziah kepada ahli keluarganya yang masih hidup terutama isteri dan anak-anak beliau (Abang Man).

“Saya harap keluarga ini bersabar dan tabah kerana setiap yang hidup pasti akan mati. Semua orang akan mati tetapi biarlah mati dalam ‘iman’,” ujarnya.

Menurutnya, perjuangan menentang Umno-BN perlu diteruskan kerana yang ‘patah akan tumbuh’ dan yang ‘hilang akan berganti’.

Jenazah allahyarham disembahyangkan di Masjid Mengabang Tengah, Batu Burok kira-kira jam 10.00 pagi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Burok, Kuala Terengganu.

Antara pimpinan PAS yang menziarahi allahyarham Osman iaitu Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali, Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar dan Pengerusi DHPP Terengganu, Dr B.Chandran.