Tuesday 17 May 2011

DHPP ziarah Ustaz Kassim di HSNZ


KUALA TERENGGANU: 10 Mei - Pengerusi Kelab Veteran PAS Terengganu, Ustaz Kassim Ahmad,74, dimasukkan ke wad 7A Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu sejak seminggu lalu.

 
Beliau diserang penyakit angin ahmar (stroke) ketika sedang tidur di rumahnya di Kampung Batu Enam, Kuala Terengganu.

Ustaz Kassim pernah menjadi wakil rakyat PAS di Dewan Undangan Negeri (Dun) Serada yang kini dikenali Dun Bukit Payung, Marang.

 
Antara jawatan penting parti yang pernah diamanahkan kepada beliau iaitu Bendahari PAS Terengganu, Yang Dipertua PAS Marang dan lain-lain.

Isterinya, Puan Zainah Awang berkata suaminya (Ustaz Kassim) diserang penyakit angin ahmar ketika sedang tidur di rumah.

“Kejut tidur pagi, Ustaz (Kassim) sudah tidak boleh bangun dan mungkin dia kena ‘stroke’ ketika tidur,” ujarnya kepada Harakah di HSNZ, 8 Mei lalu.
Menurut beliau, sejak dimasukkan ke hospital ramai pimpinan PAS serta kenalan Ustaz Kassim datang menziarahinya.

Sehubungan itu, Pengerusi DHPP Terengganu, Dr B.Chandran mendoakan agar kesihatan tokoh veteran PAS, Ustaz Kassim Ahmad sembuh secepat mungkin.

Katanya, dalam usia ‘warga emas’ ini kesihatan diri harus dijaga agar tubuh badan sentiasa sihat dan selamat dari penyakit yang tidak diingini itu.

“Kami (DHPP) datang melawat Ustaz Kassim di hospital (HSNZ) ini setelah mendapat berita beliau dimasukkan ke wad kerana serangan angin ahmar.

“Saya doakan dan saya yakin kesihatan beliau akan pulih seperti sediakala dan meneruskan perjuangan PAS hingga akhir hayat,” ujarnya.

Menurutnya, perbezaan bangsa dan agama tidak menjadi halangan kepada beliau untuk bersama-sama dengan perjuangan PAS.

Antara yang melawatnya, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Ulama’ PAS Terengganu, Dato’ Hussin Awang, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik, Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah, Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, Syukrimun Samsuddin, Pengerusi Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail, Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Hanafiah Mat dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Dr Balachandran.

No comments:

Post a Comment