Thursday 19 May 2011

Ustaz Kasim dalam kenangan

KUALA NERUS: 20 Mei - Pengerusi Kelab Veteran PAS Terengganu, Ustaz Kasim Ahmad, 74,  kembali ke rahmatullah kira-kira jam 10.30 pagi tadi di rumahnya di Kampung Terbol Batu Lapan, Pekan Batu Enam.


Beliau meninggal dunia di sisi isteri keduanya, Puan Zainab Awang, 41, dan anak-anak setelah diserang penyakit angin ahmar hampir sebulan lalu dan pernah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.

Ustaz Kasim yang juga Bendahari Dewan Ulamak PAS Terengganu meninggalkan dua balu, Puan Noraidah Sulaiman dan Puan Zainab Awang bersama 13 orang anak hasil perkongsian hidup dengan kedua-dua isterinya.

Jenazah allahyarham disembahyangkan di Masjid at-Taqwa, Pekan Batu Enam yang diimamkan oleh Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang yang disertai oleh kira-kira 1,000 orang selepas solat Asar dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Che Limah.

Tuesday 17 May 2011

Umno jangan main ‘kotor’!!!

KUALA TERENGGANU: 18 Mei- Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menyifatkan ugutan melalui pesanan ringkas (SMS) yang diterima oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar suatu yang menjijikan.

Pengerusinya, Dr B.Chandran mengingatkan pihak-pihak tertentu termasuk Umno jika menjadi ‘dalang’ melakukan ugutan tersebut agar tidak mengulanginya.

Katanya, perbuatan tersebut merupakan satu jenayah yang cuba dilakukan pihak tertentu yang ‘tersempit’ serta tidak bertamadun.

Pelancaran DHPP Terengganu ditangguh


KUALA TERENGGANU: 17 Mei- Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu menangguhkan pelancarannya yang dijadualkan pada 21 Mei 2011 (Jumaat) ini.

 
Pengerusinya, Dr B.Chandran berkata penangguhan pelancaran DHPP Terengganu disebabkan berlaku pertembungan tarikh yang sama dengan program Pakatan Rakyat di peringkat pusat.

Menurutnya, beberapa pimpinan utama yang dijadualkan hadir pada hari pelancaran DHPP Terengganu terlibat dengan program tersebut.

 
“Kita (DHPP) telah buat keputusan untuk tangguh program pelancaran DHPP Terengganu yang sepatutnya berlangsung pada 20 Mei ini.

“Ini kerana, berlaku pertembungan program Pakatan Rakyat yang melibatkan semua pimpinan tertinggi parti PAS, PKR dan DAP di Kuala Lumpur,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, katanya program Himpunan Kebangkitan Rakyat “PAS Ganti Umno” (PGU-100K) di Kuala Terengganu juga ditangguhkan pada tarikh yang lain.

Menurutnya, DHPP Terengganu patut dilancarkan sempena program PGU-100K bagi Zon Tengah selepas Kemaman dan Besut.

Namun begitu, katanya aktiviti ‘dalaman’ DHPP terus berjalan bagi mendekati rakyat dan pengundi.

Tolak politik ‘perkauman’ Umno-BN


KUALA TERENGGANU: 13 Mei- Rakyat yang berbilang kaum yang terdapat di Negara ini diseru agar menolak politik ‘murahan’ dan ‘perkauman’ yang dimainkan pihak tertentu sejak mutakhir ini.

 
Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr B.Chandran mengajak rakyat tanpa mengira kaum serta latar belakang agama menolak politik perkauman.

Katanya, ada pihak yang sengaja cuba mencetuskan ‘api’ perkauman satu pihak lagi mendapat ‘keuntungan’ sementara.

Beliau mendakwa Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) serta ‘kuncu-kuncunya’ sedang bermain dengan politik murahan tersebut.

 
“Umno yang semakin lemah sekarang ini cuba memainkan isu perkauman untuk mendapat keuntungan sementara.

“Umno-BN melalui ‘kuncu-kuncunya’ pihak media (Utusan Malaysia) dan badan bukan kerajaan seperti PERKASA cuba melaga-lagakan rakyat,” tegasnya.

Menurutnya, tindakan pihak berkenaan seolah-olah mendapat ‘lampu hijau’ dari pihak kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri.

Dr Bala menyifatkan isu “Kristian agama rasmi” yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia bukti Umno ‘rasis’ dan perkauman.

Katanya, masyarakat yang berbilang kaum dan agama yang selama ini hidup aman terasa terancam dengan isu tersebut.

“Umno yang lemah itu mengharapkan dengan isu ‘agama’ itu mereka (Umno) dapat meraih sokongan orang Melayu kepada Umno…itu sahaja.

“Orang Tionghua (cina) jelas tidak menyokong BN dan orang India pula semacam mengikut ‘rentak’ kecuali yang jelas berada dalam DHPP, PKR, DAP atau Hindraf menolak Barisan Nasional,” jelasnya.

 
Menurutnya, rakyat Malaysia yang bijak dan matang berpolitik tidak terpengaruh dengan permainan tersebut.

Apa yang penting, katanya PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat perlu fokus terhadap sasaran untuk menumbangkan Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.

DHPP ziarah Ustaz Kassim di HSNZ


KUALA TERENGGANU: 10 Mei - Pengerusi Kelab Veteran PAS Terengganu, Ustaz Kassim Ahmad,74, dimasukkan ke wad 7A Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu sejak seminggu lalu.

 
Beliau diserang penyakit angin ahmar (stroke) ketika sedang tidur di rumahnya di Kampung Batu Enam, Kuala Terengganu.

Ustaz Kassim pernah menjadi wakil rakyat PAS di Dewan Undangan Negeri (Dun) Serada yang kini dikenali Dun Bukit Payung, Marang.

 
Antara jawatan penting parti yang pernah diamanahkan kepada beliau iaitu Bendahari PAS Terengganu, Yang Dipertua PAS Marang dan lain-lain.

Isterinya, Puan Zainah Awang berkata suaminya (Ustaz Kassim) diserang penyakit angin ahmar ketika sedang tidur di rumah.

“Kejut tidur pagi, Ustaz (Kassim) sudah tidak boleh bangun dan mungkin dia kena ‘stroke’ ketika tidur,” ujarnya kepada Harakah di HSNZ, 8 Mei lalu.
Menurut beliau, sejak dimasukkan ke hospital ramai pimpinan PAS serta kenalan Ustaz Kassim datang menziarahinya.

Sehubungan itu, Pengerusi DHPP Terengganu, Dr B.Chandran mendoakan agar kesihatan tokoh veteran PAS, Ustaz Kassim Ahmad sembuh secepat mungkin.

Katanya, dalam usia ‘warga emas’ ini kesihatan diri harus dijaga agar tubuh badan sentiasa sihat dan selamat dari penyakit yang tidak diingini itu.

“Kami (DHPP) datang melawat Ustaz Kassim di hospital (HSNZ) ini setelah mendapat berita beliau dimasukkan ke wad kerana serangan angin ahmar.

“Saya doakan dan saya yakin kesihatan beliau akan pulih seperti sediakala dan meneruskan perjuangan PAS hingga akhir hayat,” ujarnya.

Menurutnya, perbezaan bangsa dan agama tidak menjadi halangan kepada beliau untuk bersama-sama dengan perjuangan PAS.

Antara yang melawatnya, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Ulama’ PAS Terengganu, Dato’ Hussin Awang, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik, Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah, Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, Syukrimun Samsuddin, Pengerusi Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail, Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Hanafiah Mat dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Dr Balachandran.

Ucapan takziah dari DHPP Terengganu


KUALA TERENGGANU: 3 Mei - PAS Cawangan Mengabang Tengah dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Burok khususnya menyifatkan pemergian seorang veteran PAS, Haji Osman Ngah, 74, sebagai suatu kehilangan besar kepada parti.

 
 Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Abang Man Janggut’ disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8.00 malam dan sempat menunaikan solat maghrib meski pun dalam keadaan keuzurannya.

Beliau merupakan bekas Imam Masjid Mengabang Tengah sejak lebih 50 tahun serta pernah memegang beberapa jawatan penting lain yang disegani dalam masyarakat baik kawan dan lawannya.
.
Allahyarham Abang Man juga merupakan pengasas PAS cawangan Mengabang Tengah, pengerusi Pasti Al-Khausar dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) ketika kerajaan PAS Terengganu 1999-2004.

Beliau meninggalkan seorang balu, Puan Aishah Mohd, 69, bersama 13 orang anak, 20 cucu serta seorang cicit.

Anaknya, Mohd Zilkarnain, 34, berkata allahyarham deman sejak lebih seminggu lalu serta mengidap sakit ghout dan kencing manis.

 Katanya, seperti biasa selepas solat maghrib kebiasaan allahyarham bapa turut membaca al-Quran bersama anak-beranak.

“Ayah (Osman) deman lebih seminggu selain ada penyakit ghout dan kencing manis. Pada malam itu selepas solat maghrib sakitnya semakin menjadi dan emak (Aishah) sempat ajar ayah mengucap hingga akhir hayatnya,” jelasnya.

Menurutnya, sebelum allahyarham meninggal dunia semua anak-anak yang berada di Melaka, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sempat pulang.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dato’ Wan Abdul Mutalib Embong turut menyifatkan pemergian allahyarham Haji Osman suatu kehilangan besar kepada perjuangan Islam.

 
Kata beliau mempunyai kenangan paling berharga dengan allahyarham abang Man yang disifatkan sebagai “abang” dalam perjuangan PAS.

“Dia (Osman) orang lama dalam PAS dan semasa saya diminta balik ke Terengganu supaya cergas dalam politik, allahyarham ‘Pok Su Daud’ iaitu bekas Menteri Besar kerajaan PAS Terengganu meminta saya mencari ‘abang Man’ ini.

“Orang yang boleh buat rujukan dalam PAS adalah ‘abang Man’. Alhamdulillah, sejak dari itu dia bersama-sama dengan ‘ayah wan’ (saya).

“Dia menjadi Ketua cawangan PAS Mengabang Tengah hinggalah dia benar-benar uzur dan digantikan orang lain, jelasnya ketika ditemui selepas pengkebumian allahyarham Osman.

Selain itu, kata Dato’ Wan Mutalib allahyarham Osman juga mempunyai ilmu agama yang boleh membimbing masyarkat setempat.

Menurutnya, pengorbanan allahyarham dalam perjuangan Islam cukup besar bersama isteri dan ahli keluarga.

“Kelebihan yang ada pada dia (Osman), ilmu yang membimbing masyarakat setempat dengan ilmu agama.

“Dalam perjuangan PAS ini tidak pernah dia bermasam muka atau tunjuk keletihan dengan kerja-kerja parti, bukan dia sahaja tetapi seluruh keluarganya bersama dengan PAS. Dia jadi pemimpin (Imam) masjid lebih 50 tahun,” ujarnya.

Justeru itu, kata beliau Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah dan setinggi penghormatan kepada allahyarham dan keluarganya.

Sementara itu, Pengerusi DHPP Terengganu, Dr B.Chandran merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham Haji Osman (Abang Man Janggut).

 Kata beliau, kematian allahyarham bukan sahaja dirasai oleh PAS tetapi juga Pakatan Rakyat seluruhnya.

“Saya ucap takziah kepada ahli keluarganya yang masih hidup terutama isteri dan anak-anak beliau (Abang Man).

“Saya harap keluarga ini bersabar dan tabah kerana setiap yang hidup pasti akan mati. Semua orang akan mati tetapi biarlah mati dalam ‘iman’,” ujarnya.

Menurutnya, perjuangan menentang Umno-BN perlu diteruskan kerana yang ‘patah akan tumbuh’ dan yang ‘hilang akan berganti’.

Jenazah allahyarham disembahyangkan di Masjid Mengabang Tengah, Batu Burok kira-kira jam 10.00 pagi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Burok, Kuala Terengganu.

Antara pimpinan PAS yang menziarahi allahyarham Osman iaitu Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali, Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar dan Pengerusi DHPP Terengganu, Dr B.Chandran.

Sunday 1 May 2011

Umno “gila” talak?


KUALA TERENGGANU: 2 Mei- Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu menyifatkan pelawaan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib agar PAS meninggalkan Pakatan Rakyat dan bersama dengan Barisan Nasional (BN) sebagai “gila” talak.
 
Pengerusinya, Dr B.Chandran berkata Umno bukan sahaja terdesak kepada sokongan rakyat tetapi menagih simpati dari PAS.

Ini kerana, katanya Presiden Umno itu menyedari rakyat telah menolak BN sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan terbaru dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak. 
 
Menurutnya, sokongan bukan Islam terhadap PAS dan kerjasama baik antara DAP-PAS dalam Pakatan Rakyat cukup membimbangkan Umno-BN.

“Itu (pelawaan) tanda orang terdesak dan ‘gila’ talak. Najib hendak pujuk PAS masuk BN semula sebab dia (Najib) sedar rakyat telah tolak kerajaan Barisan Nasional.

“Kita (bukan Islam) bersama PAS dalam DHPP dan kerjasama DAP dengan PAS dalam Pakatan Rakyat sangat membimbangkan Umno dan kerajaan BN,” jelasnya.
 
Sebaliknya, beliau berpendapat bahawa parti MCA dan MIC wajar keluar dari gabungan Barisan Nasional kerana mutakhir ini Umno kembali ‘rasis’.

Katanya, tidak ada faedah langsung MCA dan MIC bersama dengan BN kerana hanya mementingkan politik Umno yang bersifat perkauman.
 
“Saya minta MCA dan MIC kaji dan fikir semula kedudukan mereka dalam Barisan Nasional sekarang. Mereka (MCA-MIC) patut keluar dari BN.

“Umno kembali ‘rasis’ dan perkauman sekarang dan kedudukan MCA-MIC dalam BN hanya untuk kepentingan Umno sahaja,” ujarnya ketika mengulas cadangan Najib supaya PAS keluar Pakatan Rakyat.
 
Presiden Umno dalam satu kenyataannya selepas Majlis Perasmian Pangsapuri Rakyat Pulau Duyong, 30 April lalu menyifatkan perjuangan PAS dalam Pakatan Rakyat adalah sia-sia dan tidak ada kelebihan kerana pihak yang mendapat keuntungan besar adalah DAP.

Namun begitu, Dr Bala mempertahankan kerjasama PAS-Pakatan Rakyat cukup baik serta yakin mampu menumbangkan Umno-BN dalam PRU Ke-13, akan datang.
 
Katanya, perjuangan dalam Umno yang sia-sia kerana banyak merugikan orang Melayu dan menghina perjuangan Islam.